Masalah penagihan dadah memang sukar ditangani. Penagih seolah-olah tidak insaf untuk pulang ke pangkal jalan. Hakikatnya, tidak semua penagih seperti itu, malah ada yang bersusah-payah untuk pulih tetapi tetap gagal.
Prof. Dr. Mahmood Nazar Mohamed, berkata bagi memastikan penagih tidak menagih semula, sokongan dan pembabitan keluarga dalam program pemulihan amat penting. Beliau dapati usaha memulihkan penagih lebih berjaya apabila keluarga memberi sokongan khususnya daripada ibu bapa dan adik-beradik.
Peranan keluarga amat penting bagi membantu memulihkan penagih ini kembali ke pangkuan masyarakat. Sokongan yang dimaksudkan mencakupi sokongan dan belaian emosi, kasih sayang dan ambil berat semua ahli keluarga.
- Peranan Ibu bapa
- Rasulullah bersabda “Dosa yang paling besar yang akan menimpa ibubapa di akhirat nanti ialah dosa membiarkan anak-anak mereka jahil dan buta agama. "Ibu bapa seharusnya tidak jemu dan sentiasa memberi galakan kepada anak-anak mereka yang terlibat dalam penagihan agar terus berhenti menagih. Memang benar, tanggungjawab ini bukanlah suatu kerja yang ringan untuk dipikul. Janganlah anggap ia sebagai beban tapi anggaplah ia satu amanah yang perlu dipikul selagi hayat dikandung badan. Ibu bapa mana yang tidak sayang anak, ibu bapa mana yang tidak mahukan anaknya menjadi orang yang berguna. Atas dasar hubungan darah yang tidak akan putus itulah, maka peranan ibu bapa amat memberi manfaat dan keberkatan kepada seorang anak untuk berjuang.
- Peranan Adik-beradik
- Penagih perlu terus diberi sokongan selepas rawatan. Begitu juga penagih yang dihantar ke pusat serenti atau institusi pemulihan lain tidak sewajarnya dipinggirkan daripada keluarga dan diserahkan kepada institusi untuk mengatasi masalah penagihan mereka. Berdasarkan kajian, hampir 80 peratus kembali menagih apabila ahli keluarga seperti adik-beradik tidak memberi sokongan, lebih-lebih lagi untuk terbabit sama dalam program pemulihan. Bagi memulihkan penagih, hubungan asas kekeluargaan mesti berunsur terapeutik iaitu dibajai kasih sayang, harga diri, bantuan serta sokongan fizikal dan mental.
- Peranan Saudara-mara
- Stigma masih menebal di kalangan masyarakat termasuk keluarga terhadap penagih turut menggagalkan usaha itu. Walaupun penagih diberi peluang untuk pulih, mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya akibat stigma ini. Di sinilah penting peranan ahli keluarga supaya bekas penagih tidak terus tersisih
- Kadang-kala bekas penagih yang telah insaf dan ingin kembali ke pangkuan keluarga hilang semangat dan keyakinan diri kerana dipandang hina dan diperlekehkan. Di mana mereka hendak berkongsi kasih sayang yang ada jika kesedaran ahli keluarga amat rendah tentang betapa bermaknanya sokongan keluarga ini?
- sumber:http://www.myhealth.gov.my/sokongan-keluarga-dalam-proses-pemulihan-penagihan-dadah/
isi yang baik saya suka.....
ReplyDeleteterima kasih Hafizudin :)
Delete