Pada episod minggu lepas, kesemua Imam Muda (IM) memulakan Medan Imam Muda dengan tazkirah tentang kematian diiringi bacaan Yaasin sebagai permulaan yang menyentuh perasaan.
Tugasan minggu lepas, kesemua IM diberi tugasan menguruskan jenazah yang tidak dituntut dan berisiko tinggi (HIV). Jenazah ini terdiri dari jenazah pembawa HIV yang tidak dituntut oleh waris dan sudah melebihi jangkamasa 3 bulan di Hospital.
Sebelum memulakan tugasan, kesemua IM di bawa ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur untuk diberi keterangan dan maklumat tentang etika dan cara menguruskan jenazah daripada urusan pemandian, kafan, sembahyang dan pengkebumian.
Mereka diiringi dan dipantau oleh Ustaz Abdul Malik dari JAWI dan Tn Hj Abu Bakar Lajis dari Jabatan Forensik HKL dan dipimpin oleh 4 mursyid Imam Muda Musim ke-2.
Seringkali diingatkan kepada semua IM bahawa mereka perlu sentiasa menghormati jenazah dengan melakukan setiap prosedur tanpa banyak soal dan bercakap.
Kesemua IM juga dibawa ke tanah perkuburan Karak, Kuala Lumpur untuk melihat tempat di mana jenazah hendak dikebumikan seperti episod dalam Imam Muda musim pertama. Dalam keadaan tersebut, kesemua IM nampak begitu fokus dengan memberi sepenuh perhatian kepada tugasan kerana ia adalah satu tugas yang berat.
Pihak JAWI memberi penerangan dan menunjukkan demonstrasi pemakaian khas bagi melaksanakan tugas fardhu kifayah ini iaitu apron, penutup kepala, mask (penutup hidung), dan sarung tangan.
Setelah selesai, diingatkan kepada semua IM bahawa HIV atau AIDS sebenarnya tak akan berjangkit setelah seseorang itu mati dan jangan sesekali memandang serong terhadap jenazah yang sedemikian rupa serta perlu senantiasa menghormati jenazah semasa melakukan prosedur-prosedur wajib.
Setelah selesai, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Karak, Kuala Lumpur untuk disemadikan. Kesemua IM berkesempatan menguruskan pengebumian jenazah dan dalam semua prosedur.
Dalam tempoh April tahun lalu hingga awal Mei lalu, ada tiga kes pelajar IPT terjebak dalam aktiviti berkenaan tidak termasuk kes pelajar yang berjaya dibebaskan polis dan mangsa masih dalam kawalan dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu.
PELAJAR institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta kini menjadi sasaran sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk dijadikan `keldai dadah’. Adakah sikap terlalu mudah percaya kepada teman lelaki, kemewahan ataupun peluang melancong ke destinasi idaman di luar negara menjadi punca?
CINTA, wang dan melancong ke destinasi idaman di luar negara antara `jerangkap samar’ digunakan sindiket dadah antarabangsa untuk memerangkap pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta bagi dijadikan `keldai dadah’.
FAKTA
1. 10 Mei 2011 - Kegiatan jahat seorang wanita tempatan yang bersekongkol dengan dua lelaki Nigeria mengurung dua pelajar kolej di sebuah apartmen untuk dijadikan keldai dadah terbongkar apabila mereka ditahan dalam serbuan di Puchong, Selangor.
Ketiga-tiga suspek berusia di antara 25 dan 28 tahun itu ditahan jam 2 pagi selepas polis menjalankan risikan sebaik menerima maklumat mengenai dua pelajar wanita yang dipaksa menyeludup dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner (ACP) Nordin Kadir, berkata kedua-dua mangsa berusia 21 tahun itu diarahkan menyeludup enam kapsul heroin dan dua paket plastik heroin gred tinggi selain ganja bernilai RM28,700 ke China.
2. 11 Mei 2011 – Polis menahan seorang pelajar lelaki warga Nigeria dan merampas 18 kilogram ganja dalam operasi di kawasan Lye Huat Garden, Jitra, Kedah. Difahamkan, pelajar terbabit dijadikan 'keldai dadah' oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan membawa masuk dadah berkenaan melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
3. 20 April 2011, pihak berkuasa China menahan pelajar kejururawatan kolej swasta di Damansara, Kuala Lumpur, Marylyne Sandra Sapat, 22, kerana dikesan menyeludup 700 gram heroin yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Konsul Jeneral Malaysia di Guangzhou, Francisco Munis, ketika mengesahkan perkara itu berkata, Marylyne antara 26 mangsa keldai dadah dari Malaysia yang ditahan di China.
4. 24 April 2010 - Seorang pelajar Diploma Perniagaan di sebuah institusi pengajian tinggi di Sarawak, Christina Anak Luke Niju, 22, dikhuatiri menjadi mangsa sindiket keldai dadah selepas mengenali seorang lelaki Afrika yang dikenali sebagai James melalui sebuah laman sosial, Facebook.
Menurut bapanya, Luke Niju Anak Panjang, anak sulung daripada dua beradik itu kemudian ke Kuala Lumpur untuk menemui James, yang dipercayai pelajar kolej swasta di Subang.
5. 15 Mei 2007 - Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou, China atas kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram pada 19 Januari 2007. Bagaimanapun, hukuman itu kemudian ditukar kepada penjara seumur hidup.
Siswi digesa jangan mudah terpedaya
GOLONGAN wanita terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sering dijadikan `keldai dadah’ oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa terutama untuk menyeludup dadah ke luar negara.
Fakta itu mencetus idea kepada pihak pengurusan Kolej Mawar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor untuk tampil mengadakan forum perdana bertajuk 'Menyingkap Sisi Gelap : Mangsa Keldai Dadah' di dataran kolej terbabit, baru-baru ini.
Forum itu diadakan bagi memberi pemahaman kepada pelajar UiTM terutama golongan siswi yang kerap menjadi sasaran sindiket dadah antarabangsa, supaya sentiasa berwaspada terutama apabila berurusan dengan kenalan baru, khasnya warga asing.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sejak beliau memegang jawatan ketua polis negara pada 2006 hingga bersara pada akhir 2010, banyak kes membabitkan pelajar dari negara ini yang dijadikan keldai dadah oleh sindiket dadah antarabangsa.
"Seperti yang kita baca melalui akhbar, kebanyakan mangsa sindiket dadah ini adalah wanita kerana golongan terbabit dipercayai mudah dipujuk dan diperdaya. Sindiket ini licik mengelirukan wanita dengan menjanjikan habuan lumayan.
"Selain itu, sindiket berkenaan turut memperalatkan golongan wanita menerusi tawaran pakej pelancongan mewah dengan hanya membawa sebuah beg saja. Dengan taktik sebegitu, mereka sudah dapat memujuk sasaran supaya membawa dadah terbabit ke destinasi tertentu," katanya ketika berucap pada forum berkenaan.
Musa berkata, sindiket dadah antarabangsa sememangnya sentiasa mencari peluang untuk memperdayakan mangsa dari negara ini berikutan pasport antarabangsa yang dikeluarkan oleh negara kita diiktiraf di kebanyakan negara di dunia, kerana memiliki ciri keselamatan yang sukar dipalsukan.
"Pasport negara kita memang diiktiraf sehinggakan jika kita ke negara asing, jabatan imigresen di negara luar tidak akan terlalu memeriksa bagasi kita dengan pemeriksaan yang ketat. Sebab itulah pihak sindiket dadah antarabangsa sangat gemar menggunakan warga kita berbanding negara lain,” katanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata mangsa yang kesemuanya wanita mudah terpedaya dengan janji manis teman lelaki, ganjaran lumayan dan teruja melancong ke luar negara.
Beliau berkata, pihak polis sedang mengumpul data pelajar yang dijadikan keldai dadah termasuk daripada Wisma Putra dan Polis Antarabangsa (INTERPOL).
Katanya, jumlah pelajar yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah semakin berkurangan berbanding beberapa tahun lalu dan ia kembali menjadi isu selepas laporan kehilangan seorang pelajar, Christina Anak Luke Niju, 22, dari Sandakan, Sabah pada April tahun lalu.
“Kita tidak menolak kemungkinan ada lagi pelajar terjebak dalam perangkap sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan pihak polis sedang memantau kegiatan itu. “Biarpun ia hanya kes terpencil, ia harus dibanteras secara besar-besaran. Kes ini tidak akan berlaku sekiranya pelajar kita bijak bertindak dan tidak mudah terpedaya dengan teman lelaki mereka yang berasal dari negara luar.
“Jangan hancurkan masa depan dan musnahkan harapan ibu bapa hanya kerana cinta, wang dan mahu melancong ke luar negara sehingga terlupa anda dijadikan keldai dadah,” katanya ketika dihubungi Varsiti di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ada antara pelajar yang dijadikan keldai dadah dipaksa menelan bahan larangan itu bagi menghapuskan bukti, namun tindakan itu gagal kerana pihak polis mempunyai kepakaran untuk mengesannya dalam tubuh mangsa.
Tindakan itu juga amat berbahaya kerana bungkusan dadah berkenaan boleh pecah atau bocor di dalam perut yang menjejaskan kesihatan termasuk menyebabkan kematian. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi I, Datuk Dr Hou Kok Chung, berkata meskipun pihak kementerian sentiasa menasihati pelajar supaya membudayakan pemikiran kritikal dan bijak dalam membuat keputusan, masih ada yang terpedaya oleh sindiket pengedaran dadah.
Katanya, pelajar seharusnya mendapatkan pengesahan pihak berkuasa mengenai kandungan bungkusan yang dibawa bagi mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa di luar negara sehingga terpaksa merengkok dalam penjara atau dijatuhkan hukuman mati mandatori kerana terbabit pengedaran dadah.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu semua pelajar universiti menumpukan kepada pengajian dan menjauhi sebarang kegiatan yang boleh menghancurkan masa depan mereka.
“Jangan terlalu mengejar kemewahan, melancong dan terpedaya dengan teman lelaki terutama dari luar negara yang baru dikenali kerana kelak ia akan menghancurkan masa depan dan mengecewakan ibu bapa.
“Kes pengedaran dadah dalam kalangan pelajar IPT majoritinya membabitkan penahanan di luar negara dan biarpun ia kes terpencil, KPT tetap memandang serius isu berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihak universiti hendaklah memastikan semua pelajar menjauhi sindiket pengedaran dadah.
“Pelajar seharusnya memberi tumpuan kepada pengajian bukannya perniagaan, percintaan dan pelancongan yang akhirnya memerangkap diri sendiri kerana terpedaya oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa,” katanya.
1. Merosakkan sistem saraf pusat (otak & saraf tunjang) .
2. Dalam keadaan mabuk atau khayal , penagih tidak dapat mengawal pergerakan dan perimbangan badannya .
3. Risiko jangkitan HIV/AIDS , Hepatatis dan Sawan apabila menggunakan alat suntikan yang dikongsi .
4. Kesan ke atas wanita mengandung iaitu seperti keguguran , kelahiran bayi songsang , lahir belum cukup bulan , kematian bayi semasa lahir /melahirkan bayi yang tidak sempurna/cacat .
5. Melemah dan merosak daya pemikiran , pemahaman , percakapan , pengiraan dan kebolehan menyelesaikan masalah .
6. Menyebabkan gangguan emosi dalam kehidupan keluarga dan masyarakat .
7. Peningkatan kes-kes sosial dan jenayah seperti budaya samseng , kecurian , rompakan , rogol , pembunuhan dan sebagainya . Ini adalah kerana penagih sebenarnya telah mengalami kerosakan otak dan mampu atau sanggup melakukan apa sahaja demi ketagihan mereka kepada dadah .
8. Membawa maut kepada : -
a. Diri sendiri
Contohnya : Akibatnya daripada pengambilan dos yang berlebihan .
b. Ahli keluarga
Contohnya : Ibu , kerana tindakan ganas/luar kawalan penagih kerana memerlukan wang untuk membeli dadah .
c. Orang awam
Contohnya : Kemalangan akibat memandu di bawah pengaruh dadah .
SEJAK mula dikesan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 1981, kini kira-kira 34 juta orang di seluruh dunia disahkan menghidap HIV/AIDS.
Angka itu tidak statik. Ia akan terus meningkat dan terus mengancam kehidupan manusia di muka bumi jika langkah-langkah pencegahan lebih serius tidak diambil.
Penawar untuk wabak itu pula hingga hari ini masih belum ditemui. Satu sahaja cara untuk mengawalnya daripada terus merebak iaitu dengan mencegah.
Tetapi usaha untuk mencegah HIV/AIDS tidak datang secara percuma. Kosnya sangat tinggi. Ini menyebabkan banyak negara-negara miskin terutama negara-negara Afrika tidak berdaya untuk menyekat jangkitan wabak maut itu.
Selain itu, usaha mengawal wabak HIV/AIDS juga tidak terlepas daripada kontroversi kerana kumpulan yang paling terdedah ialah mereka yang terlibat dengan gejala-gejala yang sukar diterima oleh masyarakat. Ini bermakna, untuk mencegah HIV/AIDS daripada terus merebak usaha dan perhatian perlu diberikan kepada golongan seperti homoseksual, pelacur dan penagih dadah.
Pada masyarakat, golongan itu dianggap jijik kerana mengamalkan kehidupan yang tidak bermoral. Pada 10 Jun lalu, Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengarahkan supaya peruntukan yang besar disalurkan untuk merawat AIDS.
Tetapi ia turut menimbulkan bantahan dari Vatican dan beberapa negara Islam terutama yang membabitkan isu kondom dan gesaan supaya pelacur, gay dan penagih dadah dibantu.
BACA SELANJUTNYA...
Sidang Kemuncak tiga hari sempena ulang tahun ke-30 penemuan AIDS itu juga menetapkan sasaran supaya jumlah mereka yang mendapat rawatan retroviral ditingkatkan sekali ganda kepada 15 juta orang pada 2015. Selain itu, ia juga mahukan supaya jangkitan AIDS dari ibu ke anak dihapuskan sepenuhnya menjelang tarikh tersebut.
"Kita mesti menang dalam peperangan menentang AIDS ini dan kita akan menang," kata Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Joseph Deiss selepas deklarasi dipersetujui sebulat suara oleh ahli-ahli PBB.
Daripda 34 juta orang yang dijangkiti wabak maut itu di seluruh dunia, sebanyak 1.8 juta mati setiap tahun dan kira-kira 7,000 jangkitan baru dikesan setiap hari.
Sebab itu PBB mahu negara-negara anggotanya komited dalam mempercepatkan usaha bagi mencapai matlamat menggandakan angka mereka yang mendapat rawatan retroviral.
Matlamat mereka ialah memastikan 15 juta pada penderita HIV di negara-negara miskin mendapat dadah yang dapat membantu memanjangkan hayat mereka menjelang 2015.
Ketika ini PBB menganggarkan kira-kira 6.6 juta orang pembawa HIV mendapat rawatan itu.
Satu lagi, perkara penting yang diberi penegasan pada Sidang Kemuncak itu ialah menyekat jangkitan HIV dari ibu ke anak melalui langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan.
Namun cabaran bagi memastikan sasaran itu tercapai sudah tentu memerlukan sokongan komuniti antarabangsa melalui penyaluran dana untuk membantu golongan sasar.
Dianggarkan sebanyak AS$6 bilion diperlukan setahun untuk memastikan lagi sembilan juta yang menderita HIV/AIDS mendapat rawatan retroviral.
Tanpa komitmen terutama bantuan kewangan daripada komuniti antarabangsa bagi membantu negara-negara miskin, usaha untuk mengawal jangkitan wabak HIV/AIDS tidak akan berjaya.
Sehingga kini negara-negara maju terutamanya agak keberatan untuk menyatakan komitmen mereka ke arah itu. Bagaimanapun Menteri Pembangunan Antarabangsa Britain, Stephen O'Brien berkata, ia tidak bermakna sasaran itu tidak mampu untuk dicapai.
"Kami mengakui ia mencabar dan dan ia sukar. Kita akan berhadapan dengan jalan yang payah. Tetapi ia sesuatu yang berbaloi dan kami tidak akan menguburkan cita-cita ini," katanya tanpa menyatakan komitmen kewangan dari negaranya dalam mencapai matlamat yang ditetapkan PBB itu.
Tetapi yang menimbulkan kontroversi ialah apabila saranan membabitkan penggunaan kondom secara meluas bagi mencegah jangkitan selain gesaan mempertingkatkan usaha membantu pelacur, gay dan penagih dadah. Ia mengundang perdebatan hebat sepanjang perundingan bagi mencapai kata sepakat dengan bantahan keras datang dari Vatican dan beberapa negara Islam seperti Iran.
Dengan mengenepikan soal moral gesaan PBB itu menekankan akan penggunaan kondom secata betul dan konsisten.
"Amat penting untuk dinyatakan secara jelas bahawa deklarasi ini merujuk kepada kumpulan seperti lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki, pekerja seks dan pengguna dadah melalui suntikan," kata Menteri Kesihatan Brazil, Alexandre Padilha.
Kata Padilha, hak golongan pengamal seks sejenis juga perlu dipertahankan walaupun pada masa sama jangkitan HIV/AIDS perlu dicegah.
Delegasi Vatican bagaimanapun membantah idea itu termasuk menentang gesaan menggunakan kondom secara meluas.
"Ini akan memberi gambaran bahawa tingkah laku tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral yang tertentu diterima," kata wakil Vatican, Jane Adolthe.
Katanya, ajaran Kristian tidak memperakukan penggunaan kondom sebagai salah satu cara untuk mencegah AIDS dan HIV.
Pemangku Menteri Kesihatan Iran, Mohammad Hossein Niknam pula berkata, negaranya tidak akan tunduk kepada keputusan Sidang Kemuncak itu yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Syria pula mahu rakyatnya menentukan sama ada kumpulan yang terdedah kepada gejala HIV/AIDS itu perlu dibantu atau tidak.
Sementara pakat AIDS PBB pula berkata Sidang Kemuncak itu akan membantu golongan tersebut berhadapan dengan halangan sosial dan agama terutama dalam isu penggunaan kondom yang didapati antara langkah berkesan untuk mengawal penularan HIV/AIDS.
EH, engkau ini ada HIV, kau ada bawa sudu? Kau ada bawa cawan? Kau ada bawa mangkuk sendiri?" Lontaran kenyataan sedemikian mungkin bukan sesuatu yang asing dalam kalangan mereka yang jahil.
Namun, bagaimana pula sekiranya ungkapan "sinis" ini datang daripada seorang kakitangan perubatan yang sepatutnya sudah arif akan bagaimana HIV berjangkit?
Pengalaman mereka dengan HIV menunjukkan terdapat segelintir kakitangan perubatan yang menunjukkan diskriminasi atau mengecap golongan ini ketika mendapatkan rawatan sama ada di hospital mahupun klinik.
"Saya pernah disuruh oleh seorang kakitangan hospital untuk membawa perkakas sendiri seperti pinggan, cawan ketika berada di wad selepas bersalin," kata Jamaliah Sulaiman kepada Bernama baru-baru ini.
Ibu kepada empat orang anak ini berasa kecil hati apabila dijerkah sedemikian rupa di hadapan pesakit lain yang turut di kelilingi keluarga masing-masing, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang kepada mereka.
Paling menyedihkan apabila seorang kakitangan hospital bertindak acuh tidak acuh selepas mengetahui status penyakitnya itu ketika mendapatkan rawatan bagi keracunan makanan yang akhirnya menyebabkan komplikasi buah pinggang kepada beliau.
"Saya boleh saman dia. Tetapi,apabila dia datang dan minta maaf secara peribadi dan mengakui kesilapannya, saya memaafkannya.
BACA LAGI...
"Sekiranya kakitangan perubatan sendiri tidak boleh menunjukkan teladan baik kepada masyarakat supaya tidak sisihkan mereka yang dijangkiti HIV, apatah lagi masyarakat?," kata Jamaliah yang mendapat HIV daripada arwah suaminya.
Senario ini merungkai kepada satu kesimpulan iaitu faktor kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai HIV bukanlah punca utama mengapa stigma dan diskriminasi masih menebal terhadap golongan ini.
Kakitangan perubatan sedia maklum bahawa HIV hanya berjangkit melalui perkongsian jarum tercemar, hubungan seks tidak selamat dan daripada ibu kepada anak dan bukannya melalui perkongsian tandas, berpegang tangan, berkongsi perkakas makanan dan minuman.
Namun, segelintir kakitangan perubatan masih stigma, masih menunjukkan diskriminasi terhadap golongan ini.
"Saya tidak minta layanan istimewa tetapi kami pun ada hati dan perasaan.
"Mereka ini sebenarnya adalah public figure jadi apabila mereka melayan kami sedemikian rupa di hadapan masyarakat, masyarakat akan mengandaikan tidak salah melayan golongan dijangkiti HIV seperti itu," kata Jamaliah.
Berbeza pula layanan diterima daripada seorang rakannya yang hanya bekerja sebagai petani dan tidak mempunyai pendidikan khusus dalam perubatan.
"Bayangkan dia hanya bekerja sebagai seorang petani, tetapi dia tahu HIV hanya boleh dijangkiti melalui tiga cara sahaja.
"Sebenarnya, ia bukan disebabkan faktor pengetahuan atau kesedaran kerana semua itu sudah ada. Tetapi ia berbalik kepada soal hati dan perasaan kasih sesama manusia.
"Bila dua faktor penting itu ada, maka stigma dan diskriminasi boleh dihapuskan," kata Jamaliah.
Jamaliah yang disahkan positif HIV pada tahun 1998, bagaimanapun berkata pengalamannya juga menunjukkan bukan semua kakitangan perubatan bersikap dingin terhadap mereka yang dijangkiti HIV (OHH).
Beliau menceritakan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Dr Kamarul Zaman di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur semasa anak ketiganya disahkan HIV sebaik dilahirkan. Jamaliah berkata layanan Dr Kamarul ketika merawat anaknya itu sedikit sebanyak memperbaharui harapannya.
"Dia bukan sahaja menjaga kepentingan anak saya, tetapi orang di sekeliling yang rapat dengannya. Baginya, kalau hendak anak itu sihat dia perlu jaga orang di sekelilingnya.
"Ini akan memberi satu gambaran dan contoh kepada masyarakat di luar sana. Lagipun kami bukannya minta simpati cuma sokongan sahaja," katanya. — BERNAMA
KUANTAN 30 Mei - Masalah salah laku membabitkan pelajar akan diberi tumpuan oleh polis bagi membendung perkara itu daripada berlarutan sehingga menjejaskan masa depan mereka.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd. Ghani berkata, semua pihak khususnya ibu bapa perlu mengambil serius perkara itu bagi mengelak risiko berlaku jenayah lebih besar jika tidak dikawal dari awal lagi.
Tegas beliau, usaha itu penting memandangkan golongan tersebut bakal menggantikan generasi hari ini dan mencorakkan masa depan negara.
"Polis turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Pahang dalam melaksanakan usaha tersebut, tetapi lebih penting peranan masyarakat turut diperlukan bagi membendung masalah berkenaan," katanya di sini semalam.
SETAKAT ini seramai 13,000 orang rakyat Malaysia mati lantaran virus rentan penyakit atau lebih dikenali HIV. Akibat sindrom kurang daya tahan penyakit itu jugalah 91,000 rakyat Malaysia dilemparkan dengan stigma negatif lantaran hidup dengan HIV.
Namun, dalam memastikan stigma itu dikikis selain menyebarkan sebanyak mungkin kesedaran mengenai kaedah menjauhi HIV, ramai yang sanggup ke depan untuk bergelar pejuang HIV/AIDS.
Sebagai mengenangkan pemergian insan-insan yang telah pergi meninggalkan fana dunia untuk menghadap Ilahi, Sambutan Hari Memperingati Pejuang HIV diadakan di 115 buah negara seluruh dunia pada tanggal tarikh 15 Mei saban tahun sejak 1983.
Touching Lives mengambil tempat sebagai tema sambutan tahun ini, selari dengan mesej yang hendak dihubungkan kepada orang ramai bahawa HIV sebenarnya telah dan boleh menyentuh kehidupan kita sama ada sedar mahu pun tidak.
Sebaran AIDS nelayan
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nor pula pada masa yang sama menyeru wanita mengambil inisiatif sendiri untuk melengkapi pengetahuan mengenai cara perebakan virus HIV.
“Wanita sendiri perlu sedar dan diberi kesedaran supaya berhati-hati serta bersedia untuk berdepan dengan cabaran penyakit ini yang kadangkala merebak tanpa disedari,” tegasnya dengan memberikan contoh kawasan perkampungan nelayan negeri Pantai Timur yang kini diancam HIV berpandukan kajian terbaru.
Katanya, ada antara golongan nelayan lelaki di pesisir pantai yang berkongsi-kongsi pasangan tanpa perlindungan seks yang akhirnya menjarahkan virus HIV kepada isteri dan keluarga sendiri.
Berlandaskan fakta terkini itu juga, Noorul Ainur menjelaskan, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian telah menggandakan usaha mengekang bahana itu.
“Kita telah menempatkan pegawai khas di kawasan-kawasan pedalaman untuk mendidik masyarakat bukan sahaja golongan wanita bahkan, lelaki yang juga menjadi punca menularnya HIV menerusi hubungan kelamin tanpa perlindungan,” hurainya mengenai inisiatif holistik yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Harapannya, tiada lagi stigma yang masih melekat dalam sanubari orang ramai berkenaan isu HIV dan AIDS.
Seks penyebab utama
Menurut Presiden Yayasan Pink Triangle (PT) Malaysia, Hisham Hussein, sambutan itu memberi peluang kepada seluruh komuniti memperingati 13,000 orang rakyat Malaysia yang telah mati akibat HIV.
Ujarnya, seks adalah penyebab utama epidemik HIV di Malaysia kini berikutan sikap sambil lewa segelintir individu yang tidak melindungi diri ketika melakukan hubungan seks.
“Sepatutnya, kita semua perlu bertanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita tidak tahu sama ada kita punyai virus itu atau pasangan kita yang milikinya. Oleh itu langkah perlindungan seperti pemakaian kondom dengan betul perlu diamalkan,” getusnya.
Kaedah jangkitan melalui seks ceritanya kini mencatatkan kadar setinggi 48.5 peratus berbanding penularan melalui perkongsian jarum suntikan atau penagihan dadah iaitu 47.6 peratus.
“Anda adalah siapa diri anda dan apa yang anda lakukan itu sebenarnya lebih utama, pasang nawaitu dengan betul supaya boleh membantu diri sendiri dan orang sekeliling,” pesan Hisham menyeru komuniti yang dijangkiti agar bekerjasama menghalang daripada merebaknya HIV.
Yayasan PT antara lainnya turut membekalkan ujian pengesanan HIV percuma yang menekankan aspek kerahsiaan dalam setiap sesi rawatan.
“Jika pesakit positif kuman HIV, khidmat kaunseling secara percuma akan diberikan tiga kali seminggu di dua pusat berasingan iaitu di Sungai Buloh dan di Jalan Tunku Abdul Rahman,” bicaranya yang bimbang akan penularan wabak HIV melalui kegiatan seksual golongan biseksual.
Ujarnya, jangkitan menerusi kecenderungan hubungan kelamin antara kedua-dua jantina yang berbeza lebih tinggi risikonya berbanding pasangan gay, mak nyah dan pekerja seks.
“Kita sebenarnya tidak sedar golongan biseksual lebih ramai bilangannya berbanding homoseksual atau heteroseksual maka, dengan jumlah ini juga kadar jangkitan HIV lebih tinggi dan cepat menular,” ulasnya ketika ditemui penulis di Majlis Sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia baru-baru ini.
SEORANG pemuda berusia 28 tahun bagaikan hilang akal apabila melibas-libas pisau selepas berang dengan tindakan ayahnya berusia 58 tahun membuang gam yang dihidunya. Dalam keadaan khayal, entah apa yang bermain di fikiran sehingga akhirnya pisau itu singgah di perut si ayah. Si abang berusia 39 tahun yang cuba mententeramkan adiknya turut terkena libasan pisau itu di tangan kiri. Mujurlah tiada kematian kerana dua beranak itu hanya cedera dan mendapat rawatan di hospital.
Itu kisah terbaru membabitkan penangan gejala menghidu gam di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu, baru-baru ini. Terlalu banyak sebenarnya kisah berbaur sedih, marah dan benci berkaitan gejala menghidu gam dan barangkali jika dibukukan entah berapa rak diperlukan untuk menyimpannya.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, malah tahun berganti tahun ada saja kisah membabitkan gejala menghidu gam. Selain mencederakan orang lain, entah berapa ramai yang menjadi anak derhaka, melakukan jenayah, malah terpaksa dihantar ke pusat pemulihan persendirian gara-gara ketagih menghidu gam.
Menyedihkan, apabila yang terbabit kebanyakannya remaja, malah berdasarkan laporan akhbar ada kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah pandai menghidu gam.
BACA LANJUT...
Penulis sendiri pernah berpengalaman menemubual remaja berusia 21 tahun yang ketagih menghidu gam sejak usia 13 tahun. Masa depannya gelap dan entah bagaimana nasibnya kini, sama ada hidup atau sudah meninggal dunia. Tidak mendoakan, tetapi itulah realitinya kerana ketika ditemu bual dia mengakui ketagihannya kronik apabila menjadikan gam seperti makanan harian dan tidak keterlaluan dikatakan dia hanya menanti masa untuk dijemput ajal.
Bukan satu retorik jika ketagihan menghidu gam itu dikaitkan dengan kematian. Masih ingatkah lagi kisah tiga rakan karib yang ditemui mati dipercayai selepas menghidu gam secara berlebihan berhampiran kawasan semak di atas bukit di antara Flat Sri Sabah dengan Jalan Loke Yew di Cheras, Kuala Lumpur pada 10 April 2000?
Muhamad Abdul Hamid,18; Gucharan Singh Arbantha Singh atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah, 14, dan Alun Harris, 20, dipercayai mati dua jam lebih awal sebelum ditemui penduduk dalam keadaan terbaring kira-kira jam 8.40 pagi.
Turut ditemui di kawasan itu adalah empat tin gam dengan kapasiti 100 mililiter bagi setiap tin yang dipercayai digunakan untuk melepaskan gian pada waktu malam sebelum mayat mereka ditemui.
Bagi penghidu gam, barangkali mereka tahu atau buat tak tahu. Gam yang dihidu itu mengandungi pelarut seperti toluene serta trichloroethylene iaitu toksid yang boleh mengganggu fungsi jantung.
Jika diambil secara berlebihan, bahan larutan itu akan menyebabkan denyutan jantung tidak stabil, manakala peredaran darah tidak teratur yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Jika tidak mati, bersedialah untuk hilang ingatan, gila, hilang upaya deria dan lumpuh pada anggota badan tertentu.
Semua kesan itu sudah dibuktikan dengan pelbagai kisah berkaitan gejala menghidu gam yang dipaparkan di akhbar. Ia terus menjadi bahan bualan, perdebatan dan polemik yang nampaknya tiada kesudahan.
Puas sudah nama seperti Setiausaha Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Kamilia Ibrahim dan Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd Yunus Pathi menguar-uarkan pentingnya diwujudkan akta hidu gam bagi membendung permasalahan berkenaan.
Entah beberapa kali juga wakil badan bukan kerajaan (NGO) lain bersuara mengatakan gejala menghidu gam sudah sampai ke tahap kronik, namun belum nampak sebarang penyelesaian terhadap masalah berkenaan.
Kamilia pernah menyebut Pemadam mengusulkan diwujudkan akta hidu gam sejak 2007.
Baru-baru ini Pegawai Perhubungan Awam Unit Media dan Komunikasi Korporat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Mohd Amir Khusairi, dipetik sebagai berkata, usaha menangani gejala menghidu gam dibincangkan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencari jalan penyelesaian.
Dikatakan, KDN mengusulkan kertas cadangan untuk diberikan kepada kerajaan bagi menguatkuasakan akta menghidu gam. Daripada Pemadam mencadangkan sehinggalah AADK turut serta, nampaknya belum ada sebarang kata putus berkaitan akta berkenaan.
Agaknya sampai bila boleh diwujudkan kekangan dan hukuman supaya gejala menghidu gam dapat diselesaikan? Ini kerana, tanpa akta, tiada apa yang boleh dilakukan kepada sesiapa yang menghidu gam melainkan diberi nasihat.
Memetik kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan baru-baru ini, tiada akta bagi membolehkan penghidu gam didakwa, malah polis sendiri tidak boleh menahan atau menangkap mereka dan apa yang boleh dilakukan sekadar memberi nasihat.
Lupakanlah impian melihat usaha membanteras gejala menghidu gam tercapai hanya dengan sekadar memberi nasihat. Anak muda zaman sekarang bukan jenis yang makan nasihat.
Bagi penghidu gam, bersoraklah mereka selagi tiada undang-undang yang boleh menyekat dan menghukum mereka. Pada masa sama, mungkin mereka tersenyum lebar kerana sesiapa yang terbabit dengan gejala menghidu gam tidak dapat dikesan menerusi ujian air kencing.
Pelbagai jenis gam yang boleh mengkhayalkan juga bebas dibeli di mana-mana kedai tanpa ada sekatan kerana tiada akta membolehkan pembelian gam itu disekat. Lalu, apa akan jadi pada generasi muda kita pada masa depan?
Diyakini kerajaan mengambil berat permasalahan berkenaan, cuma rakyat mahu segera melihat permasalahan itu diatasi, sekurang-kurangnya dengan menguatkuasakan akta berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan mampu perkenalkan akta untuk daun ketum dan melarang remaja bawah 18 tahun membeli rokok, mengapa pula tidak menguatkuasakan akta hidu gam?
Pada masa sama, alang-alang penjualan asid dicadangkan supaya tidak dijual sewenang-wenangnya bagi mengelak bahan ini disalah guna penjenayah selepas jenayah membabitkan asid mula meningkat dan membimbangkan rakyat baru-baru ini, usahakanlah juga supaya penjualan gam yang digunakan untuk berkhayal dipantau penjualannya.
Sumber: harian Metro, Dilaporkan Oleh Ketua Biro Harian Metro Kelantan, Azmizan Mohd Samiran.
Masyarakat patut bantu pihak berkuasa pastikan negara bersih penagih
sumber: Seperti yang dilaporkan oleh Mahfar Ali, Rencana Sabtu Berita Harian.
KES penyalahgunaan dadah di kalangan orang Melayu semakin membimbangkan. Sehinggakan seorang hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini, melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam. Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
“Masalahnya kita orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang.
Apa yang diluahkan Hakim Abd Rahim seharusnya mendapat perhatian serius seluruh masyarakat Melayu.
Malah, kita patut berasa bimbang kerana berdasarkan perangkaan, remaja dan belia Melayu adalah golongan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Mengikut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, iaitu 9,734 orang (80.59 peratus), berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07 peratus), India 926 orang (7.67 peratus), pribumi Sabah 238 orang (1.97 peratus), pribumi Sarawak 29 orang (0.24 peratus) dan etnik lain 56 (0.46 peratus). Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 361.91 peratus berbanding tempoh sama pada 2009.
BACA LAGI DI BAWAH...
Menurut statistik Bukit Aman pula, 222 rakyat Malaysia berketurunan Melayu kini ditahan di penjara luar negara kerana kesalahan dadah sama ada dijadikan keldai dadah atau secara sedar. Dari sini, timbul persoalan mengapa orang Melayu mudah terpengaruh dan terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah? Dalam perbualan dengan Presiden Pengasih Malaysia, Datuk Yunus Fathi, beliau mengemukakan beberapa faktor, termasuk berkait dengan soal budaya, perilaku, latar belakang keluarga dan tempat tinggal, pendidikan serta pengaruh luar.
“Taraf pendidikan orang Melayu pula secara umumnya masih rendah dan yang terbabit dalam dadah kebanyakannya daripada keluarga miskin. Selain itu, sistem kekeluargaan yang dulunya kuat, kini semakin rapuh menyebabkan anak terbiar dan tidak diberi perhatian,” katanya yang pernah menjadi penagih sebelum mengasaskan Pengasih – badan yang dianggotai bekas penagih dadah.
Sememangnya mengikut statistik ADK, majoriti penagih yang dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu menunjukkan 8,492 orang (78.40 peratus) adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat Tingkatan Tiga, iaitu mempunyai sijil LCE/SRP/PMR. Bilangan penagih tertinggi juga dikesan pada mereka yang mempunyai sijil pada peringkat LCE/SRP/PMR, iaitu seramai 4,069 orang (37.56 peratus).
Persoalannya, kenapa kes penyalahgunaan dadah terus meningkat sedangkan banyak program dianjurkan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengekang gejala ini? Malah, pelbagai undang-undang digubal dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap kesalahan dadah, termasuk hukuman mati mandatori.
Penguatkuasaan juga diperhebatkan dan mengikut statistik, rampasan beberapa jenis dadah, seperti heroin, ecstasy, candu dan kokain menunjukkan peningkatan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu. Namun, di sebalik kejayaan ini, isu dadah terus menghantui kita. Sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang, meningkat 507.44 peratus berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45 peratus berbanding 1,136 tahun sebelumnya.
“Kita semua berisiko dan yang tidak mempunyai kekuatan diri lebih berisiko tinggi untuk mudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Sebab itu, kempen kena bermula dari rumah dengan menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak mengenai bahaya dadah."
"Kita juga kena banyakkan aktiviti bagi meningkatkan jati diri serta pembangunan intelektual dan rohaniah anak. Malah, mengikut satu kajian, anak yang selalu bersukan bersama ibu bapa didapati jarang terbabit dalam dadah. Peranan pertubuhan komuniti seperti PIBG, JKK kampung, jawatankuasa kariah surau atau masjid juga penting bagi membantu memerangi gejala dadah,” katanya.
Mesej ini sepatutnya membuka mata seluruh masyarakat agar bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kes penyalahgunaan dadah. Kita percaya rakyat sedar kes penyalahgunaan dadah ini serius, tetapi ramai yang cuma mengeluh, tetapi tidak membantu. Kita tidak boleh lagi melihat dan membiarkan saja apa yang berlaku di sekeliling kita.
Mungkin ramai tidak ambil peduli kerana menganggap itu bukan masalah mereka atau tidak membabitkan anak atau ahli keluarga mereka. Barangkali ramai juga tahu anak jiran kita mengambil dadah, tetapi kita buat tak tahu kerana tidak mahu dianggap mencampuri hal orang lain. Ini bukan soal hendak jaga tepi kain orang, tetapi membabitkan masa depan generasi kita. Bersamalah membanteras dadah.
OTHMAN Musthapa (tiga dari kiri) bersama Che Mohd. Rahim Hussien (dua dari kiri) beramah mesra dengan peserta Bengkel Latihan Fasilitator Manual Islam HIV/AIDS di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 22 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mencetak sekurang-kurangnya 10,000 naskhah Manual Islam dan HIV/AIDS untuk diberikan kepada imam dan pegawai agama di seluruh negara sebagai panduan dalam menguruskan jenazah penghidap HIV dan pesakit AIDS.
Ketua Pengarahnya, Othman Musthapa berkata, buku tersebut boleh menjadi panduan untuk mengelakkan berlakunya kes enggan memandikan jenazah kerana takut dijangkiti penyakit atau virus itu.
"Sekarang memang sudah tidak berlaku keadaan seperti sekitar 1980-an dulu kerana masyarakat sudah mempunyai ilmu mengenai HIV/AIDS, namun buku ini tetap wajar dimiliki.
"Semua maklumat mengenai HIV/AIDS ada di dalam buku ini, begitu juga mengenai cara-cara menguruskan jenazah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Latihan Fasilitator Manual Islam dan HIV/AIDS Kelantan, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim Hussien; Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Datuk Zaman Khan dan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Dr. Adeeba Kamarulzaman.
Buku terbitan Jakim itu mempunyai lapan modul utama yang amat berguna termasuk kepada bakal suami atau isteri yang menghidap HIV.
Othman berkata, Jakim tidak pernah menghalang pasangan yang menghidap HIV untuk berkahwin, sebaliknya mereka akan diberikan kaunseling secukupnya.
"Pemeriksaan dibuat untuk kita mengetahuinya sahaja dan selepas itu bakal suami atau isteri akan diberitahu bahawa pasangan mereka menghidap HIV.
"Jika hasrat untuk berkahwin tetap diteruskan, kita tidak boleh menghalangnya tetapi bantuan kaunseling dan khidmat nasihat akan diberikan sepanjang masa," katanya. (Utusan Malaysia, 23/5/2011)
Sekitar Minggu Anti Dadah SMK Jengka Pusat 2, 2011: Majlis Perasmian
Perasmian Minggu Anti Dadah SMK Jengka Pusat 2 2011 telah diadakan di Dewan SMK Jengka Pusat 2 pada 7 Mac 2011. Perasmian pelancaran minggu Anti dadah Oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKJP2, Encik Abd Latif Mat Ali.
Sebahagian gambar majlis perasmian Minggu Anti Dadah 2011.
Artikel ini seperti yang dilaporkan oleh wartawan Metro Ahad, Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
MASALAH sosial di kalangan remaja serta pelajar sekolah yang melanda masyarakat di negara ini semakin membimbangkan apabila mereka bukan saja berani ponteng sekolah, membuli pelajar lain, peras ugut dan mencuri, malah turut melakukan jenayah lebih besar seperti merompak, penyalahgunaan dadah, merogol, mencederakan orang dan membunuh.
Biarpun statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan penurunan kes juvana yang diterima iaitu 3,484 kes pada 2010 berbanding 3,862 kes pada 2009, namun tindakan lebih berani remaja yang terbabit dalam kes jenayah sungguh membimbangkan.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jenayah seperti merompak, bergaduh, kongsi gelap atau keganasan hingga mendatangkan kecederaan atau kematian dulu lazimnya dikaitkan dengan kumpulan orang dewasa, tetapi kini turut terkenal dilakukan remaja sekolah. “Kita melihat kebarangkalian remaja sekolah melakukan jenayah lebih berat ini sangat tinggi dan membimbangkan.
“Mereka sanggup mencederakan mangsa tanpa memikirkan kesan perbuatan itu yang mungkin boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Baca lagi...
Menurutnya, antara punca remaja pada masa kini berani melakukan keganasan dan jenayah berat ialah faktor keganasan yang ‘dipopularkan’ dalam industri hiburan, khususnya perfileman.
“Kita melihat dan menilai bahawa populariti keganasan yang ditonjolkan dalam filem atau drama antara faktor utama remaja melihatnya sebagai perkara hebat.
“Dalam kartun atau animasi juga sering memaparkan keganasan seperti pergaduhan dan apabila sejak kecil dipertontonkan dengan unsur ganas ini, pasti mereka terikut-ikut sebagai cara menyelesaikan masalah atau rasa tidak puas hati,” katanya.
Lee berkata, pihak berwajib termasuk kerajaan perlu lebih tegas dan peka dalam menangani masalah ini, selain perlu lebih konsisten dalam melakukan tapisan, terutama dalam tayangan filem mahupun drama.
“Bukan kita kata filem berkenaan tidak boleh, tetapi adegan di dalamnya perlu diberi perhatian dan ditapis.
“Bila drama atau filem ini memaparkan keganasan dilakukan oleh sesuatu watak khususnya seperti watak seorang hero, tidak mustahil remaja dan kanak-kanak melihatnya sebagai sesuatu yang hebat dan diagung-agungkan, sekali gus mencuba atau meniru watak berkenaan tanpa mengetahui kesan sebenar perbuatan mereka,” katanya.
Selain itu, menurut Lee, masalah dilakukan pelajar itu tidak dirujuk dengan mana-mana pihak, menyebabkan mereka (pelajar) berpendapat perbuatan mereka bukan isu atau masalah besar.
“Ini juga antara faktor mengapa remaja kini semakin berani. Apabila melakukan kesalahan, mereka hanya diberi amaran, dan jika membabitkan pergaduhan, ia dianggap kes terpencil dan disorokkan.
“Apabila ini berlaku dan tidak dirujuk kepada agensi berkaitan, kita khuatir pelajar ini akan menganggap perbuatan mereka sebagai kes ringan dan mengulanginya semula tanpa mengetahui ia boleh menimbulkan bahaya kepada mangsa,” katanya.
Beliau berkata, bagi menangani masalah salah laku pelajar daripada ‘merebak’ menjadi jenayah lebih berat, satu program khusus yang memantau pelajar berkenaan perlu diwujudkan.
Katanya, program itu perlu berkisar kepada program pemulihan, bimbingan dan kaunseling yang mendidik mereka supaya tidak menjalar kepada salah laku lebih berat.
“Kebanyakan program yang ada masa kini lebih kepada program pemulihan apabila seseorang pelajar itu benar-benar melakukan kesalahan atau jenayah berat.
“Sedangkan salah laku mereka sepatutnya disekat apabila mereka memulakan kesalahan kecil. Bila ini dilakukan, kita percaya indeks jenayah juvana membabitkan kes lebih besar dan berat akan menurun,” katanya.
Menurut Lee, bagi menjamin kes juvana berkurangan, ibu bapa, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat perlu memainkan peranan.
“Pada masa kini, kita melihat sukar mendapat kerjasama semua pihak bagi menangani masalah ini. Kebanyakan hanya menyerahkan tanggungjawab berkenaan pada sesuatu pihak seperti pihak berkuasa, sedangkan kes dilakukan pesalah juvana berlaku di depan mata masyarakat.
“Oleh itu, kita berharap apabila terlihat perbuatan salah laku pelajar itu di depan mata, ambil tindakan dengan menegur mereka, dan jika khuatirkan keselamatan, ambil gambar salah laku mereka dan laporkan pada pihak berkuasa.
“Ini sedikit sebanyak mampu menimbulkan perasaan takut di kalangan remaja untuk melakukan jenayah,” katanya.
Blog ini ditubuhkan untuk menjadikan web blog sebagai medium Pendidikan Pencegahan Anti Dadah. Blog ini dibangunkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Arau, Perlis.